Penyakit Jantung menyerang golongan muda

Penyakit jantung yang sebelum ini hanya menyerang golongan berusia, kini mula ‘mendekati’ rakyat negara ini yang berusia kurang 40 tahun kesan dari tabiat pemakanan dan gaya hidup tidak sihat diamalkan golongan itu seperti gemar meminum teh tarik, memakan nasi lemak dan roti canai serta menghisap rokok secara kerap.

Ketua Unit Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Oteh Maskon, berkata gaya hidup diamalkan golongan berkenaan, termasuk tabiat kurang suka bersenam ‘mendekatkan’ mereka kepada pelbagai risiko seperti obesiti, darah tinggi dan kencing manis, iaitu penyebab penyakit jantung.

“Jika seseorang mendapat sakit jantung ketika berumur 80 tahun, keadaan itu adalah neutral kerana pada ketika itu saluran organ berkenaan tidak dapat menahan serangan penyakit tetapi apa yang merisaukan ialah apabila PPUKM sendiri pernah merawat pesakit jantung yang baru berusia 23 tahun.

“Ini termasuk kes terbaru membabitkan seorang wanita berusia 38 tahun. Biasanya sebelum memasuki fasa menopaus, seseorang wanita mempunyai hormon yang mampu melindunginya daripada penyakit termasuk serangan sakit jantung tetapi pemeriksaan dilakukan kepada wanita ini mendapati beliau mempunyai tiga saluran tersumbat dan pada masa sama turut didiagnos dengan diabetes.

“Adalah normal apabila seseorang dikesan mengalami sakit jantung dengan hanya satu saluran tersumbat. Tetapi dalam kes ini terdapat tiga saluran tersumbat dan keadaan inilah menyebabkan kepada kematian secara tiba-tiba. Disebabkan itu juga, kita tidak dapat melakukan prosedur bypass kerana saluran berkenaan menjadi terlalu kecil.” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian forum ‘Degupan Jantung, Hembusan Nafas - Jangan Biarkan Ianya Berakhir’ yang diadakan sempena Persidangan Tahunan ke-12 Persatuan Toksik dan Kardiovaskular Surgeri Malaysia dan disempurnakan Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan UKM, Profesor Datuk Dr Lokman Saim.

Dr Oteh berpendapat, satu kajian menyeluruh mengenai tabiat pemakanan rakyat Malaysia perlu dilakukan bagi mengenalpasti mengapa kadar penyakit jantung di negara ini lebih tinggi. Katanya, selain corak pemakanan dan gaya hidup, tiga dari 10 pesakit jantung di kalangan golongan berusia di bawah 40 tahun yang mendapatkan rawatan di hospital itu juga didapati mewarisinya daripada keluarga.

“Meskipun terdapat rawatan yang boleh digunakan bagi merawat penyakit ini, tetapi adalah penting supaya semua orang bertanggungjawab terhadap diri sendiri dengan memastikan langkah pencegahan bagi mengekang sakit jantung dapat dilakukan.” katanya